Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Wednesday, 29 May 2013

Adab berjamaah


Adab Berjamaah Dan Menghormati Keputusan Presiden

Timbul keributan yang tidak kurang hebatnya apabila Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dikritik secara terbuka kerana dikatakan melanggar perjanjian dengan PKR dalam isu calon PRU 13 di Kota Damansara. Apa yang menyedihkan lagi, ada di kalangan pimpinan tertinggi PAS yang mempertahankan kritikan tersebut atas nama keterbukaan.

Perlu dipertegaskan bahawa Islam memberikan hak kepada ketua sesebuah organisasi membuat keputusan sendiri tanpa memanggil mesyuarat. Jika dipanggil mesyuarat sekali pun, beliau diberi ruang untuk membelakangi keputusan mesyuarat jika perlu. Bahkan beliau tidak perlu memperjelaskan keputusan yang diambil kepada orang bawahan.

Lihat sahaja kepada sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w. dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah. Persetujuan telah dicapai bersama sahabat-sahabat baginda untuk berperang jika mereka dihalang untuk masuk ke Mekah bagi menunaikan ibadat umrah sebagaimana cadangan Saidina Abu Bakar. Bahkan Rasulullah s.a.w mempertegaskan lagi perkara yang sama kepada Budail bin Warqa', orang tengah antara Rasulullah dan Quraisy agar memberitahu musyrikin Mekah tentang perkara tersebut.  

Apa yang berlaku, akhirnya Rasulullah s.a.w. tidak melaksanakan dan membelakangi keputusan hasil perbincangan dengan para sahabat tersebut. Rasulullah s.a.w telah memeteraikan perjanjian dengan musyrikin Mekah yang menghendaki orang Islam pulang semula ke Madinah dan datang pada tahun hadapan untuk menunaikan umrah. Bahkan Rasulullah s.a.w. tidak memperjelaskan kepada para sahabat tentang keputusan yang diambil ini. Perjanjian ini bukan wahyu daripada Allah bahkan ia adalah kebijaksanaan baginda dalam membuat keputusan dan mengatur strategi.

Jelasnya, Tuan Guru Presiden mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri sebagaimana yang dibenarkan oleh Islam walaupun berbeza dengan keputusan mesyuarat jika dilihat di sana ada mudharat yang lebih besar boleh berlaku.

Ini tidak bermakna Islam mengamalkan sistem diktator. Sistem diktator adalah sistem yang tidak membuka ruang langsung untuk orang bawahan mengemukakan pandangan. Ada pun dalam Islam, pandangan orang bawahan adalah sangat dialu-alukan tetapi pandangan tersebut tidak boleh mengikat seorang ketua untuk membuat keputusan.

Dr Ramadhan al-Buti (Fiqh as-Sirah; 1999, m.s 237) menyebut: "Syura dalam Syariat Islam adalah sesuatu yang disyariatkan tetapi ia tidak semestinya dilaksanakan. Ini kerana kebaikan daripada Syura adalah untuk mengeluarkan pandangan-pandangan daripada orang bawahan, mencari kebaikan dan kemaslahatan yang diketahui oleh sebahagian dan tidak sebahagian yang lain atau memandang baik diri-diri mereka. Sekiranya pemimpin melihat pandangan mereka sangat baik berdasarkan dalil syarak dan hukumnya maka pemimpin itu akan melaksanakannya. Jika sebaliknya, dia boleh membuat keputusan mengikut apa yang dia kehendaki dengan syarat tidak berlawanan dengan nas Quran dan Sunnah serta ijmak orang Islam."

Tidak dapat dinafikan bahawa keputusan mesyuarat atau syura perlu dilaksanakan oleh ketua atau pun tidak adalah menjadi perbahasan dan perbezaan pandangan di kalangan Ulamak. Pun begitu, pemimpin mempunyai hak untuk memilih pandangan Ulamak yang berbeza ini. Tuan Guru Presiden ada hak untuk memilih pandangan bahawa keputusan mesyuarat tidak semestinya dilaksanakan dan ahli perlu menerima pilihan Presiden.

Kewajipan ahli ialah mempertahankan dan melaksanakan keputusan Presiden walaupun mereka tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut. Begitulah sikap yang diambil oleh para sahabat apabila mereka tidak berpuas hati terhadap Rasulullah s.a.w. apabila baginda memeteraikan perjanjian dengan musyrikin Mekah dan terpaksa balik semula ke Madinah. Saidina Umar datang menemui Rasulullah s.a.w menyatakan ketidak puasan hati beliau sehinggalah terpaksa ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar. Para sahabat tidak mahu berganjak daripada tempat mereka apabila Rasulullah menyuruh mereka bertahallul untuk pulang ke Madinah. Rasulullah s.a.w terpaksa mengulangi sebanyak 3 kali tetapi para sahabat tidak mengendahkannya. Ini kerana mereka tidak puas hati dengan keputusan Rasulullah yang melanggar keputusan asal untuk berperang jika dihalang untuk masuk ke Mekah. Tetapi akhirnya para sahabat melaksanakan arahan Rasulullah apabila Rasulullah sendiri bertahallul. Mereka menerima dan melaksanakan keputusan Rasulullah walaupun mereka tidak berpuas hati.

Itulah sikap yang perlu ada dalam diri ahli pendokong gerakan Islam khususnya Parti Islam seMalaysia (PAS). Walaupun mungkin kita tidak berpuas hati dengan keputusan Presiden tetapi keputusan tersebut tetap wajib dilaksanakan. Mereka boleh meluahkan ketidakpuasan hati itu mengikut saluran yang betul tetapi akhirnya mereka perlu akur dengan keputusan Tuan Guru Presiden.

Adalah amat malang apabila sebahagian ahli dan pimpinan PAS tidak dapat menerima keputusan yang diambil oleh Tuan Guru Presiden dan tidak mahu melaksanakannya. Apa yang lebih mendukacitakan lagi apabila ada di kalangan pimpinan PAS yang mempertahankan kritikan orang luar yang menyalahkan Presiden dalam isu calon di Kota Damansara walaupun Tuan Guru Presiden telah menerangkannya. Pimpinan yang seumpama ini tidak berhak berada dalam saf kepimpinan bersama dengan Tuan Guru Presiden.

Ustaz Mokhtar Senik
Ajk Dewan Ulamak Pas Pusat
Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang

Thursday, 25 October 2012

DARI 'ABID KEPADA MUJAHID


Buat semua kaum muslimin, renungi kisah ini.. Hendaknya menjadi motivasi buat semua. Kisah mengenai seorang 'Abid yang hanya menumpukan waktunya untuk beribadah di Tanah suci, berubah arah apabila menerima kiriman surat dari temannya. 
Surat yang dikirimkan oleh Abdullah ibnu Mubarak.Ibnu al-Mubarak atau nama sebenarnya Abdullah al-Mubarak, merupakan  seorang Imam Besar,pendakwah, Mujahid, ulamak yang zuhud,  yang sentiasa merindui Jihad dan syahid pada jalan Allah s.w.t. hingga menemui syahid beliau pada tahun 181 Hijrah di “هيت”.

Antara kisahnya yang masyhur yang telah dirakamkan di dalam tafsir Ibnu kathir adalah bait-bait Syair yang telah dihantar melalui sepucuk surat kepada Fudhail bin Iyad, yang merupakan seorang Abid yang sangat terkenal dengan ibadahnya yang hebat hingga digelar sebagai Ahli Ibadah bagi dua tanah Haram. kandungan surat tersebut sangat menyentuh jiwa Fudhail hingga beliau menangis, bertaubat dan mara bersama tentera Islam yang sedang berperang ketika itu.
Surat Yang Dihantar oleh Ibnu al-Mubarak kepada Fudhail bin Iyad:
يا عابـد الحرمين لو أبصـرتنا لعلـمت أنك في العبـادة تلعب
من كان يخضب خده بدمـوعه فنحـــورنا بدمائنا تتخضب
أو كان يتعب خيله في باطــل فخيولنا يوم الصبيحـة تتعب
ريح العبير لكم ونحـن عبيرنا رهج السنابك والغبار الأطيب
ولقــد أتانـا من مقـال نبينا قول صحيح صادق لا يكذب
لا يستوي غبار خيـل الله في أنف امرئ ودخان نـار تلهب
هذا كتاب الله ينطـــق بينا ليس الشهيد بميت لا يكـذب
“Wahai  ahli ibadah di dua Tanah Haram,
Kalaulah kamu telah menyaksikan kami,
Maka kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya
Seolah-olah kamu telah bermain-main dalam ibadah,
Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras
Maka dengan pengorbanan kami, kami mengalirkan darah yang lebih deras,
ataupun kuda-kuda ia kepenatan di dalam perkara batil,
Maka kuda-kuda kami penat dalam melakukan penyerbuan dan peperangan,
Bau wangi-wangian menjadi milikmu,
Sedangkan bau wangi-wangian kami adalah debu-debu di jalanan,
dan sesungguhnya telah datang kepada kami sabda nabi s.a.w.,
Sabda yang benar jujur dan tidak ada kebohongan
Tidaklah sama debu kuda-kuda Allah di hidung seseorang dan asap neraka yang menyala-nyala,
Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami,
Bahawa orang mati syahid tidaklah sama dengan orang yang mati biasa,
Ia tidak akan berbohong”.
Semoga kandungan bait-bait syair yang penuh pengertian ini mampu untuk meniupkan roh jihad dan perjuangan kepada para pejuang yang sentiasa ikhlas di dalam menegakkan agama Allah s.w.t..