Sunday 26 August 2012

Agenda Majlis Syura Pas 9 Sept isu hudud-Sinar Harian

Agenda Majlis Syura Pas 9 Sept isu hudud

WARTAWAN SINAR HARIAN

26 Ogos 2012
SHAH ALAM - Majlis Syura Pas akan memfokus isu hukum hudud yang kembali menjadi polemik pada mesyuaratnya 9 September ini, kata Setiausahanya, Nik Zawawi Nik Salleh.

Beliau berkata, agenda utama mesyuarat badan tertinggi dalam Pas itu akan datang adalah memperkasakan Pakatan Rakyat (PR) terutama dalam menghadapi isu hudud.

Beliau mengulas laporan media bahawa Majlis Syura akan membincangkan isu bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang membuat kenyataan agar Pas menilai kembali kedudukannya dalam Pakatan Rakyat ekoran penentangan DAP terhadap pelaksanaan hudud.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Majlis Syura akan membincangkan kedudukan Nasharudin kerana beliau adalah ahli Majlis Syura.

"Majlis Syura akan memperincikan isu hudud ini agar ia tidak menjadi titik perbezaan pendapat dalam Pakatan kerana ia agenda Pas bukan Pakatan.

"DAP sepatutnya tidak menyentuh hal ini kerana ia bukan bidang mereka," katanya dipetik Harakahdaily.

Mesyuarat Lajnah Politik Pas semalam mengambil ketetapan, parti itu akan terus memperjuangkan pelaksanaan syariat Islam termasuk hudud dalam konteks demokrasi di negara ini.

Sebelum ini, pimpinan Pas menegaskan tidak ada masalah penentangan DAP terhadap hudud kerana pemimpin mereka kebanyakannya bukan Islam.

Yang menjadi isu adalah apabila Umno yang mengaku Islam sejak dari dahulu menentangnya termasuk surat amaran Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu Perdana Menteri, kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar jangan melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah II yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.

No comments:

Post a Comment