Dari : http://sanusisetpol.blogspot.com/2013/05/berkasih-sayang-kerana-allah.html
Catatan sebelum ini mengundang banyak persepsi, barangkali juga
kali ini. Catatan ini ringkas, namun penuh makna bagi pemilik hati yang masih
punya nilai keinsanan, apatah lagi nurani yang memahami tasawwur 'amal Islami,
menghayati konsep, sistem, rukun dan adab berjemaah dalam sebuah Harakah
Islamiyyah.
Pagi tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha Politik Presiden PAS
menghubungi aku memaklumkan Presiden akan datang menziarahi Ustaz Azizan petang
nanti, jam 3.30. Hati dan perasaan segera lega dan gembira. Presiden PAS
yang dikasihi itu, dalam waktunya yang sangat terbatas, akan meluangkan masa
sekali lagi, membuat perjalanan jauh, menziarahi sahabat seperjuangan yang
sedang mengalami saat-saat sukar dalam hidupnya.
Aku menyambut TGHH di kereta dan membawanya ke wad. Dia segak
berjubah hitam berbutang hingga ke bawah, berserban seperti selalu. Wajahnya
berseri walaupun nampak penat dengan kesibukannya. Pak Cop dan beberapa
kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu wad ICU. Dia memberi salam kepada
beberapa pengunjung di koridor, terus melangkah laju terus ke bilik Ustaz
Azizan.
Assalamualaikum! Suaranya bergetar. Ustaz Azizan dimaklumkan
oleh anaknya Solehah, "Ayah! Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz Azizan
nampak berseri, bola matanya meliar mencari suara sahabat dan pimpinannya itu.
Ustaz tidak mampu berkata-kata dan bersuara, tiub oksigen dan saluran paip
masih menyekat suara dan mulutnya, dia cuba juga mengerakkan bibirnya untuk
menjawab salam sahabatnya itu. Kedua belah tanggan terangkat ke paras dada,
seolah menyatakan syukur di atas kedatangan itu.
"Bersabarlah, bersabarlah .... Banyakkan zikir dan doa.
Hadis menyatakan orang yang bersabar menghadapi sakit akan diberi pahala yang
banyak..." Kata TGHH sambil menggenggam tangan Ustaz Azizan. Wajah dan
bola mata mereka bertentangan. Suara TGHH bergetar menahan sebak. " Ana
datang nak bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk
menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas
kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan membenarkan
pembedahan itu" kata TGHH. Ustaz Azizan mengangguk dan mengangkat
tangannya sekali lagi seperti mahu kami juga berdoa untuknya. Mulutnya
bergerak, namun tiada suara yang keluar.
TGHH memalingkan wajahnya ke belakang, matanya merah, air mata
meleleh disebalik kaca matanya. Kami yang berada di situ tiada daya menahan
pilu teramat sangat, dada berombak, nafas tersekat dan air mata menitis laju.
Keakraban dan kasih sayang antara mereka terserlah memancar dalam pertemuan
itu, tiada ayat untuk menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi, Pak Cop, Dr
Syamsuri, Helmi Khalid, Doktor dan jururawat turut menangis menekupkan
mulut dengan tangan.
TGHH memegang dahi Ustaz Azizan yang saat itu memandangnya.
Sambil mengusap kepala sahabatnya, TGHH mengeluarkan kalimat
ini..."Bersabarlah... kerja keras anta selama lima tahun pasti Allah akan
terima ..... Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah selama dua tahun
setengah sahaja, dia diracun dan mati. Anta sempat juga 5 tahun, lebih lama
daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah dan teruskan bersabar!" Kata-kata
TGHH ini diucap dalam tangisan, tersekat-sekat dan perlahan. Kami di belakang
bagai tertimpa 'segunung rasa hiba'...menjuraikan air jernih tak terkawal lagi.
"Ana akan ke Turkey esok, InsyaAllah ana akan sampaikan
salam anta kepada sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH perlahan. Ustaz
Azizan mengangguk, matanya memandang wajah TGHH, ada aitrmata bertakung di
kelopaknya. Aku segera terbayang pertemuan Ustaz dengan sahabatnya Sheikh
Yusoff Karocha, penterjemah kitab dan guru kepada Tayeb Erdogan di Turkey.
Mereka bertemu penuh keakraban pada Januari lalu.
Ustaz Azizan mengangkat kedua tangannya dalam kepayahan, TGHH
membaca doa ringkas dalam bahasa arab, kami mengaminkannya. Pak Cop dan aku
mengambil tempat di sisi katilnya, sementara TGHH mendapat penjelasan ringkas
Doktor tentang kondisi terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah, kami
semua akan terus berdoa untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan tangisnya.
"Ana minta diri dulu, anta teruslah berehat dan banyakkan
sabar". Ustaz Azizan cuba menghulurkan tangganya yang masih bertambat
beberapa paip dan wayar bersambung ke mesin. TGHH menyambut dan memegangnya.
Dia menjengketkan kakinya, membongkok dan mencium dahi sahabatnya yang
terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas sembuh!" Katanya dalam
esakkan.
TGHH menghala keluar. "Terima kasih semua!." Katanya
sambil mengangkat tangan kepada Doktor dan jururawat yang sedang teresak
kesayuan dalam bilik itu. Dia berhenti seketika, menanggalkan cermin mata dan
mengesat air matanya di depan pintu. Aku lihat ramai juga yang menyaksikan
pertemuan itu dari depan cermin pintu, turut menangis.
Demikianlah kasih sayang diantara dua tokoh pimpinan PAS yang
terbina kerana Allah, subur dan terus segar untuk mengharungi perjuangan
suci ini. Ikatan tulus dari hati yang tersimpul kukuh sejak puluhan tahun lalu
itu tidak terlerai, tidak mampu dirungkai oleh apapun, dengan sebab apapun,
kerana simpulan itu benar dan ikhlas atas jalan Allah, bukan palsu bukan
lakonan. Mereka berdua telah sebalut dalam perjuangan ini.... Air mata masih
berjurai saat aku menitikkan nokhtah kepada catatan ini.
No comments:
Post a Comment