Saturday, 25 May 2013

Himpunan kemuncak Blackout


Sumber : Harakahdaily

PETALING JAYA: Ribuan penyokong dengan berpakaian warna hitam mulai membanjiri Padang Timur (Amcorp Mall) bagi menjayakan himpunan Suara Rakyat 505 yang bermula petang sehingga lewat malam ini.

Walaupun himpunan hanya bermula pada jam 5 petang tetapi para penyokong mula hadir sejak jam 3 petang tadi lagi.

Mereka yang hadir rata-rata dilihat santai dan ceria malah ada yang turut membawa keluarga.

Tinjauan Harakahdaily mendapati pihak polis turut memberikan kerjasama baik dalam memastikan lalu lintas berjalan dengan lancar.

Dijangkakan pimpinan utama dari ketiga-tiga parti dari Pakatan Rakyat, PAS, PKR dan DAP akan hadir memberi ucapan malam nanti.

Bemula jam 5 petang ini, ucapan dimulakan dengan wakil-wakil NGO, aktivis serta sayap pemuda ketiga-tiga parti.

Exco Pemuda PAS, Mohd. Firdaus Jaafar ketika berucap menjelaskan tujuan himpunan ini diadakan adalah untuk menuntut hak rakyat dikembalikan dan memberi signal bahawa rakyat tidak boleh ditipu.

"Tujuan kita berhimpun adalah hanya satu iaitu menuntut hak kita, semua rakyat mahukan sebuah negara yang selamat demi masa depan anak-anak kita akan datang.

"Malah dalam pada itu juga kita turut berhak menuntut ada rakyat tidak lagi terbeban dengan sara hidup yang melampau kerana kerakusan pemimpin kerajaan yang menyeleweng duit rakyat," ucap beliau pada himpunan Suara Rakyat 505.

Himpunan hari ini adalah anjuran gabungan NGO bagi menyatakan bantahan terhadap penipuan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Himpunan hari ini juga turut menuntut supaya Pengerusi SPR meletak jawatan dengan segera kerana telah menghalalkan penipuan di dalam pilihanraya yang lepas.

No comments:

Post a Comment