1. Salah satu hakikat yang terserlah dalam PRU ke-13 lalu ialah Umno-BN (UBN) semakin jelas telah menjadi ‘Parti Kampong’. Penulisan ringkas ini bercadang untuk menguatkan hujjah kepada tesis dan penemuan ini.
2. Penulisan saya dengan tajuk ‘Najib semakin seksa selepas menang’ ingin dipanjangkan di sini. Sesungguhnya tajuk ini boleh sahaja dijadikan antara buku yang boleh diterbitkan pasca PRU ke-13 ini oleh penulis-penulis tempatan.
3. Setelak debu peperangan mendap dan euporia ‘kemenangan’ mula pudar, Najib terpaksa berdepan dengan beberapa hakikat yang sangat mengugah dan menyeksa jiwanya.
4. Persetankan ‘kata-kata nista’ pembangkang tentang Kabinet XXL yang baru dilantiknya. Pelbagai kritikan termasuk kelompok pengamal serta pensyarah-profesor undang-undang yang mempertikaikan kesahihan kaedah melantik menteri dari kelompok senator yang belum lagi mengangkat sumpah sebagai senator.
5. Persetankan apa jua cemohan rakyat tentang ‘tsunami Cina’ ciptaan Najib sekaligus menampakkan dendam kesumatnya terhadap etnik ini serentak menajamkan lagi garis perkauman. Persetankan gagasan ‘Blackout 505’ yang cuba diketengahkan bagi membangkitkan kesedaran rakyat tentang pilihanraya sarat penipuan.
6. Persetankan ‘Tribunal Rakyat’ cadangan Bersih dan masyarakat sivil. Persetankan panggilan ‘Kerajaan Minoriti’ walaupun jelas dengan ukuran ‘undi popular’ di semenanjung dan seluruh negara.
7. Namun seperkara yang tidak boleh dipersetankan Najib dan pimpinan UBN ialah hakikat bahawa parti dan barisan yang dipimpinnya sedang mengalami hari-hari kepupusannya (demise) dalam persaingan sengit ‘Politik Baru’. Najib UBN bukan sahaja masih hidup dalam penafian bahkan cuba menongkah arus menentang kemaraan ‘Politik Baru’ ini.
8. Justeru fakta-fakta keputusan PRU ke-13 mula menyelak dan memaparkan hakikat sebenarnya bahawa Najib dan UBN telah menang kerana diselamatkan oleh undi-undi Borneo yang tidak sempat di’jangkiti’ ‘tsunami semenanjung’.
9. Itu pun tak boleh selesa sangat sebab Sarawak catat peningkatan undi buat pembangkang sebanyak 8.9%, kedua tertinggi selepas negeri Johor. UBN juga mengalami kemorosotan undi di 18 kerusi parlimen dari 31 kerusi parlimen di negeri itu. Dalam 8 kerusi etnik Dayak, BN mengalami 10 % kemorosotan undi dan Pakatan hampir merampas 2 kerusi Dayak yakni P205 Saratok and P220 Baram.
10. Pun begitu halnya di Sabah. BN mengalami kemorosotan undi di 19 dari 26 kerusi parlimen Sabah. Dalam 7 kerusi majoriti bumiputera yang dimenangi BN, kesemua mengalami kemorosotan undi sebanyak 10%. Sangat menyeksa.
11. Kembali kepada tesis bahawa Umno-BN telah menjadi ‘parti kampong’ atau parti yang hanya kuat di kampong-kampong tradisi Melayu, fakta-fakta berikut adalah sangat memalukan dan mengaibkan Najib.
12. Pakatan terus mengungguli dominasinya di Wilayah Persekutuan dengan memenangi 9 daripada 13 kerusi yang dipertandingkan. Pertandingan di Lambah Pantai menyerlahkan segala-gala naratif dan pengkisahan tentang percubaan UBN untuk menawan Kuala Lumpur!
13. Kesemua ibu negeri kecuali Kangar dan Johor Bahru, terus dikuasai Pakatan Rakyat. Ini termasuk Alor Star, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Tanjong, Ipoh, Kuantan, Shah Alam, Seremban, Kota Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.
14. Bagi kerusi Parlimen Selangor, Pakatan Rakyat Berjaya mengekalkan dominasi kawasan bandar dan pinggir bandar seperti Petaling Jaya, Ampang, Serdang, Puchong, Kelana Jaya, Gombak, Subang, Shah Alam, Kapar, Klang dan Kota Raja.
15. BN, sejajar dengan tesis yang dimajukan, hanya mampu menguasai ‘anjung utara’ yang merupakan ‘Malay Belt’ – Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Hulu Selangor dan kali ini berjaya merampas kembali kerusi Kuala Selangor yang telah berubah demografi pengundi menjadi 65%-35% (Melayu-65%, 23%-India, 12%-Cina) berbanding 60-40 pada 2008 dengan N12 Jeram mencapai 80%20%: Melayu-Bukan Melayu.
16. Di Negeri Sembilan juga turut menyerlahkan fenomena ini, di mana UBN unggul di kawasan luar bandar seperti Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin sementara Pakatan kekal di kawasan Seremban dan Rasah.
17. Penulis cenderung untuk meringkaskan dan memudahkan fenomena PRU ke-13 ini sebagai menyerlahkan trend atau pola rakyat-pengundi yang terbelah kepada dua kelompok besar;
i. pengundi kawasan luar bandar yang tidak dapat capaian internet dan masih tegar dengan keperluan ‘pembangunan’ dan
ii. Pengundi bandar dan pinggir bandar yang sangat terdedah kepada media baru-alternatif berbanding sogokan media UBN dan cenderung untuk menyokong agenda ‘penambahbaik demokrasi dan kesejahteraan rakyat’.
18. Menyonsong masa depan dalam laluan pembangunan politik negara, ternyata bahawa Pakatan Rakyat lebih bersedia untuk mengisi harapan pengundi dalam kelompok kedua yakni pengundi yang mahukan penambahbaikan Negara dalam apa yang disebutkan kini sebagai penghayatan dan dinamika ‘Politik Baru’.
19. Amat nyata pula, penulis mendapati bahawa UBN amat meminati kelompok pertama golongan luar Bandar dan juga begitu sebaliknya mereka ‘diminati’ golongan luar Bandar ini yang telah di’bela’ dengan ‘sogokan pembangunan’ yang sebenar-benarnya ‘tidak membangunkan minda dan jiwa mereka’ bahkan tidak juga bangunkan pendapatan sebenar (real wage) mereka.
20. Generasi muda yang telah meninggalkan kampong sebenarnya telah meninggalkan legasi Politik Lama yang sarat dengan Politik Menakut-nakutkan Rakyat dan Politik ‘Patronage’ yakni ketua-ketua yang mesti ‘disantuni’ untuk mendapat tandatangan anak-anak kampong untuk mendapat biasiswa kerajaan UBN dsbnya.
21. Tegasnya Umno-BN akan cuba kekal dominasi luar bandanya sekaligus menjadi ‘parti kampong’ untuk kekal berkuasa sementara Pakatan mesti menorobos kampong dan luarbandar untuk berjaya menawan Putrajaya dalamPRU ke-14.
22. Peralihan demografi kearah dominasi generasi muda dalam tahun-tahun mendatang akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat sementara mendayakan ‘Politik Baru’ dan ‘Politik Pencerahan’ adalah formula kemenangan yang tepat dan wajar.
23. UBN tampaknya mungkin sahaja mahu kekal ‘parti kampong’ yang meneruskan amalan dan legasi Politik Lama yang sarat dengan amalan politik perkauman, politik agama yang sempit dan konfrantasi, politik ‘Paronage-Perlindungan’penguasa politik dan orang-orang besar yang berpengaruh bermula dari JKKP sehingga keperingkat tertinggi parti. Malang!
* Penulis adalah Pengarah Eksekutif Penyelidikan PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment