http://sanusisetpol.blogspot.com/2013/05/aku-dan-ustaz-azizan-keputusan-besar.html
Ustaz Azizan: Keputusan Di Saat
Getir Dipimpin Ketegasan TGHH
Secara kasarnya, pada 9
Mei 2013, inilah yang aku lalui....
Khamis - Jam 4.00 petang, Tuan
Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan isteri, diiringi setiausaha
politiknya Dr Syamsuri Mokhtar tiba untuk menziarahi Ustaz Azizan. Aku
menyambutnya dari kereta, bersama Pengarah Hospital dan Pasukan Doktor Pakar
yang merawat Ustaz Azizan. Dia di bawa ke bilik CCU.
Dalam bilik itu ada ramai
pelawat lain, termasuk Dato' Seri Mahdzir Khalid, mantan MB Kedah, kini MP
Padang Terap. TGHH meluru terus ke katil dan memerhati. Aku lihat matanya sayu
memandang wajah dan tubuh kaku terkujur, seorang sahabat yang telah lama
bersama-samanya mengharungi perjuangan ini. TGHH sangat mengenali Ustaz Azizan,
dia tahu kehebatan insan yang sedang bertarung dengan maut itu. Jemaah Islam
pimpinannya kukuh dan teguh dengan hadirnya insan yang sedang terbaring koma
itu.
Secebis dari kehebatan insan
bernama Azizan
Ustaz Azizan pernah bercerita -
Katanya- Aku malu nak bercerita kat orang, aku kenai ramai dan biasa bergaul
dengan ramai Ulama' dan tokoh-tokoh yang memimpin kebangkitan umat Islam
di seluruh dunia hari ini, antaranya Rashid Al-Ganoushi, Dr Yusof Qardhawi,
Sheikh Qadhi Hussain dan ramai lagi. Ada sesetengah orang baru tengok gambaq
orang-orang hebat macam tu, depa dah kata kenai sangat-sangat - ceritanya
begini -
Lama dulu, dalam satu
persidangan Gerakan Islam antarabangsa, (di London atau Iran, aku sudah lupa)
dia mewakili PAS bersama Dato' Fadzil Noor danTGHH. Persidangan itu disertai
semua tokoh Ulamak Gerakan Islam Sedunia, termasuk Dr Yusof Al-Qardhawi, Dr.
Kurshid Ahmad, Dr. Rashid Al-Ghanoushi, tokoh-tokoh Ikhwan dan ramai lagi.
Dalam satu bab yang menjadi
perdebatan mereka para ulamak, Ustaz Azizan telah berhujjah panjang, bertembung
ilmunya dengan Rashid Al-Ghanoushi (dalam bahasa arab). Akhirnya persidangan
itu menerimapakai hujjah yang dikemukakan oleh Ustaz Azizan. Esoknya,
Ustaz Azizan lewat masuk ke persidangan, Dr. Rashid Al-Ghanoushi tercari-cari
Ustaz Azizan dan meminta TGHH segera membawa Ustaz Azizan masuk ke persidangan.
Katanya memperi perumpamaan - "Aku ni macam sarjan polis yang dok ukur
jalan kes eksiden tu, walaupun pangkat tak tinggi, tapi main dengan lamanya
pengalaman dia kerja, kadang-kadang ASP pun mai tanya dia lagi. Pandai tak la
pandai, tapi hidup dengan mengajar dan dikelilingi buku dan ilmu, aku buleh la
berhujjah sikit-sikit".
Ustaz Azizan tidak suka
bercerita tentang kebolehannya, dia hanya mempraktikkan ilmu dan kemahirannya.
Dia low profile, hanya yang benar-benar kenal dan selalu berinteraksi akan
mengenalinya. Pada satu ketika di awal tahun 2008, dia marah bila saya membawa
cadangan seorang rakan (Hj Nan) supaya dia memakai jubah dan melayani Sami
Budha yang akan mengunjunginya, seperti yang dibuat oleh TGNA. "Hang
jangan suruh aku berlakon. Aku dengan cara aku, nak kena berlakon pakai jubah
pasai apa? Hang tanya depa tu, dapat pahala ka kalau kita berlakon macam
tu...Tok Guru lain, dia memang macam tu dah, dia bukan berlakon!" Aku diam
dan mula belajar sesuatu.
Ketika ada cadangan supaya
menghebahkan derma dan potongan elaunnya kepada Tabung Tengku Mahmud yang
diilhamkan olehnya, Ustaz Azizan berpesan. "Hang jangan dok hebohkan benda
baik yang aku buat macam sumbangan bulanan aku kepada Tabung Tengku Mahmud atau
kat parti. Aku bukan Tok Guru yang sangat tinggi ikhlas dan tawadduknya.
Dia tak pa, aku tak mampu. Nanti timbul riak dan ta'ajub, pahala aku hilang,
duit aku pun habis, dosa pulak yang mai." Pengalaman istimewa bersama
insan berusia 69 tahun bernama Ustaz Azizan Abdul Razak akan aku kisahkan
kemudian.
Keputusan Besar Dengan Panduan
Seorang Pimpinan
Aku memperkenalkan Dato' Doktor
Hamzah (pakar bedah) kepada TGHH supaya dia mendapat gambaran penyakit Ustaz
Azizan. "Tuan Guru, Ustaz Azizan sedang tenat.....TGHH menganggukkan
kepalanya beberapa kali sepanjang penerangan itu. Turut mendengar penjelasan
itu ialah MP Padang Terap yang berdiri di sebelah TGHH. Wajahnya turut cemas
dan simpati. TGHH masuk sekali lagi ke sebalik tirai yang menempatkan Ustaz
Azizan, membuka selimut di kaki sahabatnya itu....
Dia bercakap serius dan tegas
dengan isteri kedua Ustaz Azizan, Ustazah Samsiah yang sentiasa menunggu dan
membaca Yaasin di situ sejak pagi. TGHH bersungguh sungguh menjelaskan dan cuba
meyakinkan sesuatu kepada warisnya itu. (Orang tua Ustazah Samsiah adalah dua
pupu kepada TGHH). "Sediakan saya bilik mesyuarat, panggil semua ahli
keluarga yang ada, dan jemput doktor-doktor pakar datang, saya mahu berbincang
dan mendengar pandangan". Kata TGHH. Aku mengekorinya ke sebuah bilik di
sebelah kiri ruang yang sesak itu.
Memang sejak doktor memaklumkan
keadaan Ustaz Azizan dan keadaan kakinya, kuman yang merebak ke tubuhnya,
risiko dan kesan yang ada, pendirian keluarga dan kawan-kawan terbahagi
dua. Satu pihak menyokong nasihat doktor untuk memotong kedua belah kakinya, sebelah
pihak lagi memegang pesanan Ustaz Azizan supaya tidak dipotong. Kalau tak di
potong, 100% fatality (kematian), kalau di potong, masih ada peluang untuk
hidup.
TGHH bertanya punca-punca Ustaz
Azizan sakit hingga ke tahap ini. Saya bercerita panjang sebelum ahli keluarga
dan doktor pakar dapat berkumpul. Saya juga ceritakan usaha membawa membawa
Ustaz Azizan ke klinik di Bukit Minyak yang tertangguh. "Jangan buang masa
yang ada, jangan sampai kita terlambat membuat keputusan, mesyuarat inipun sudah
memakan setengah jam". Kata TGHH.
Hj Ismail Wan Teh yang turut
berada dalam bilik itu bertanya. "Anta secara pribadi, pada tahap dan
keadaan ini, apakah pendirian anta, potong atau tidak?" Aku merenung wajah
TGHH, dia menanti jawapan aku. Aku masih berharap dia akan sedar dan aku
akan ikhtiarkan rawatan alternatif untuk tidak dipotong. Bila Doktor
menjelaskan bahawa mesin bantuan hayat itu tidak mungkin dapat ditanggalkan,
bermaksud, jalan alternatif yang ada sudah punah ranah. "Ayah Chik, dalam
keadaan di mana jalan alternatif yang saya usahakan sudah tidak dapat dibuat
kerana Ustaz tidak boleh dibawa keluar dari sini, saya serahkan pendirian saya
kepada keputusan yang Ayah Chik akan ambil. Muktamad!
Ustazah Samsiah masih bertegas
tidak bersetuju kaki suaminya di potong. "Ini amanah suami saya."
Katanya. "Saya redha kalau sudah sampai masa nyawanya diambil, dia pergi
dalam keadaan itu. Itu pesannya kepada saya dan anak-anak malam Rabu sebelum
dia koma. "Ayoh Chik, saya yakin ada unsur lain dalam sakit Ustaz, saya
mahu mencuba untuk merawatnya dengan kaedah perubatan Islam pula." Kata
Ustazah Samsiah sambil cuba mendail satu nombor supaya TGHH dapat bercakap
dengan pihak itu.
"Jangan begitu Samsiah, tak
boleh bersikap begitu dalam keadaan ini. Itu perkara tidak nampak. Kita kena
tengok apa yang nampak dulu. Zahirnya bagaimana. Soal yang tidak nampak kita
kira kemudian. Ini persoalan hidup dan mati. Kita perlu buat keputusan
untuk menyelamatkan nyawa Ustaz Azizan". TGHH menjelaskan.
"Dari segi syarak pun,
inilah kewajipan orang yang masih waras dan sedar, Ustaz Azizan sudah tidak
boleh membuat keputusan untuk dirinya. Sanusi pun menerima amanah itu, dia
sudah cuba yang termampu. Ustaz Azizan dalam bahaya, mengikut keterangan
pakar-pakar, pemotongan kaki perlu dibuat untuk mengelak kuman itu merebak
keseluruh tubuhnya. Paling bahaya jika sudah meresap ke organ-organ penting.
Kita kena dengar cakap mereka kerana kita bukan pakar. Mereka yang pakar
dalam bidang ini. Panggil Faekah ke sini"! TGHH kelihatan sangat tegas dan
yakin dengan pendiriannya. Ustazah Samsiah minta diri untuk keluar kerana
di situ tiada liputan talian. Dia masih cuba memuat panggilan telefon.
Kak Faekah dan anak-anak masuk
dan mendengar penjelasan Doktor dan TGHH. Kak Faekah sudah ada keputusan. Aku
berlalu keluar. Ini ruang untuk keluarga membuat pendirian sesama mereka. Bila
aku masuk semula, Kak Faekah dan Ustazah duduk bersebelahan di hadapan TGHH dan
pasukan Doktor. Kedua-duanya sugul dan menundukkan wajah. Keputusan sudah
dibuat. Kak Faekah akan menandatangani surat persetujuan waris untuk
mengizinkan pembedahan. Jam menunjukkan pukul 4.45 petang, ketegasan TGHH telah
memandu keluarga besar itu membuat satu pendirian yang sangat besar untuk
mereka semua, untuk menyelamatkan nyawa insan yang mereka sayangi, insan yang
sangat berjasa kepada ummah dan perjuangan Islam.
YAB Menteri Besar Kelantan masuk
sebaik saja keputusan dicapai. Pasukan Doktor pakar yang menunggu keputusan
keluarga sejak semalam kini mempunyai tanggungjawab besar. "Anything can
happen during the operation procedure, even before its start or after that. We
do whatever we can, the rest, we pray to Allah". Begitulah lebih kurang
ayat akhir Dato' Dr Hamzah. Mereka kemudian meminta izin bergambar bersama kedua
tokoh Gerakan Islam yang memimpin PAS itu.
Keluar dari bilik itu seperti
terkeluar dari dilema dan kekusutan. Demikianlah sifat dan sikap seorang
pemimpin, seorang sahabat dan seorang Tok Guru. Dia memandu kita diwaktu samar,
dia tunjukkan jalan menuju cahaya. Dia mampu memberi kata putus dengan hujjah
dan pedoman ilmu. Dia merujuk dan menghormati kebolehan orang lain dalam bidang
mereka, dia melihat apa yang lebih utama (aulawiyat) di waktu pilihan berpecah
dua. Dia tegas dan bersungguh -sungguh. Pertimbangannya menghasilkan keputusan
yang jelas dan kukuh. Dia hadir membawa sinar penyelesaian dalam kekusutan.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.
Jam 7.00 petang, Ustaz Azizan
yang sedang koma dipindahkan ke dewan pembedahan, sekitar jam 11.00 malam,
separuh tubuhnya di bawa keluar ke ICU, separuh lagi meluncur di jalan menuju
pusara persemadian di Muassasah Darul Ulum. Aku berserah kepada Allah atas apa
yang telah ditentukan untuk seorang pimpinan Jemaah Islam yang sangat aku
kasihi. Dia bukan sahaja bapa kepada anak-anaknya, dia seperti ayah buat kita
semua. Dia kini masih terbaring di wad itu... Menjalani takdir dari Allah yang
Maha Esa.
No comments:
Post a Comment