Friday 17 May 2013

Penentang Presiden Mursi


ANTARA DUA "KUMPULAN PELAMPAU"

Nasib baki 6 orang askar Mesir yang diculik sampai hari ini masih belum diketahui. Seorang dari mereka telah dibebaskan kelmarin. Akhbar arus perdana Mesir "Al-Akhbar" hari ini mengimbau kronologi penculikan tentera negara itu yang sering berlaku di wilayah Sinai. Sinai terbahagi dua, selatan dan utara. Yang dikategorikan kawasan panas ialah Sinai Utara kerana ibu negerinya, 'Arish terletak berhampiran Rafah, pintu sempadan yang menghubungkan jalan darat Mesir-Gaza. 

Sebelum tiba di Arish, terdapat kawasan bernama "Syeikh Zayed". Kawasan ini telah termasuk dalam kawasan hitam kerana menjadi 'sarang kes jenayah'. Sementara Sinai utara keseluruhannya pula terkenal dengan pelbagai kumpulan Islam yang bersifat 'radikal'. Munculnya kumpulan yang mengangkat senjata menggelarkan diri mereka dengan "Salafiyah Jihadiyah", "Tauhid", "Ansor Jihad", "Majlis Syura Mujahidin" dan "Aknaf Baitil Maqdis". Kebanyakan mereka menolak sistem pilihanraya dan mengambil pendekatan mengangkat senjata. Mereka lebih suka mengambil pendekatan menyerang balai-balai polis, pos kawalan dan pejabat-pejabat. Akibatnya, Islam terpalit sebagai agama yang ganas dan melampau. 

Sementara terdapat kumpulan "pelampau" anti-Islam berkumpul hari ini di dataran Tahrir selepas Jumaat dengan menamakan sebagai "Jumaat Ikhwan Muslimin Menyebabkan Kami Lapar". Mereka bencikan Mursi kerana Mursi 'mencampur-adukkan agama dengan politik'. Mursi suka membacakan Al-Quran dan Hadis dalam ucapannya. 

Rujuk ucapan terkini beliau di ladang gandum pada "Hari Menuai" di Iskandariah dua hari lepas apabila beliau membacakan sepotong ayat suci dalam Surah Al-'Araf ayat 96 bermaksud, "Jika penduduk satu kampung itu beriman dan bertaqwa nescaya Kami bukakan pintu keberkatan langit dan bumi." Ini sesuatu yang asing bagi penganut sekular Mesir apabila seorang ketua negara membacakan ayat Allah dalam ucapan politik. 

Beberapa buah parti politik hari ini turut menyokong "Kempen Pemberontakan" dengan mengedarkan borang untuk mengumpul tandatangan bagi menggulingkan Mursi serta mendesak satu Pilihanraya Presiden diadakan lebih awal. Menjelang malam, mereka mengumumkan akan berkampung di Tahrir sehingga Mursi digulingkan.
 — with Abdul Malik II.

No comments:

Post a Comment