Friday 24 May 2013

Tangkap untuk alih isu tipu dalam PRU 13



Sumber : Muhammad Faizal,Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berpendapat tindakan pihak polis yang membuat tangkapan melibatkan aktivis mahasiswa, pemimpin Pakatan Rakyat dan juga aktivis NGO hanya untuk mewujudkan budaya takut di kalangan rakyat.

Beliau memberitahu, budaya takut ini ditimbulkan apabila terdapat banyak pendedahan yang telah dikeluarkan sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan hasrat rakyat tidak tampil menuntut keadilan.

"Apabila terlalu banyak pendedahan penipuan pada PRU13 dapat dibuktikan, kerajaan telah mewujudkan satu budaya takut kepada rakyat agar mereka tidak bangkit menuntut keadilan.

"Rakyat telah terdedah dengan pelbagai maklumat apa yang berlaku sepanjang pilihanraya yang lepas, sebagai kerajaan bagi mestikan tidak ada kebangkitan maka mereka telah mengalihkan isu kepada penangkapan supaya rakyat tidak berani menuntut kebenaran," jelas beliau.

Menurut Idris, sebagai sebuah parti politik memerintah sebuah negara merupakan satu matlamat dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan kuasa.

Atas sebab itu apabila sesebuah parti mempunyai kuasa mutlak walaupun wujud penipuan dalam pemilihan, mereka merasakan rakyat tidak akan berani untuk tampil menuntut keadilan jika kekerasan digunakan sepertimana melakukan penangkapan terhadap mereka yang lantang bersuara.

Undang-undang terpilih

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang menegaskan apa yang berlaku hari ini telah menunjukkan wajah sebenar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah katanya lagi, tindakan rampasan yang dilakukan terhadap akhbar rasmi PAS, Harakah adalah satu lagi usaha untuk menutup segala bentuk penyelewengan dan pembohongan mereka.

"Kita harapkan bertindak secara adil diambil oleh kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kenapa tidak ada tindakan diambil oleh mereka yang mengeluarkan kenyataan rasis ataupun media yang secara jelas rasis dalam tajuk penyiaran mereka. Undang-undang mengatakan yang salah tetap salah bukannya undang-undang mengikut pilihan," katanya.

No comments:

Post a Comment