Wednesday 29 May 2013

Tugas Pertama Zahid Hamidi & Ketua Polis Negara


Tugas pertama Zahid, KPN baru tangkap

Oleh : Subky Latif

SEORANG menteri baru dan mana-mana pemegang jawatan baru diperhatikan akan tindakan pertamanya mengambil jawatan.

Tunku Abdul Rahman Putra semasa menjadi Ketua Menteri Tanah Melayu tahun 1955 tindakan pertamanya memperkenalkan undang-undang pengayuh basikal tidak boleh berpayung.

Tindakan  pertama Dr. Mahathir mula jadi Perdana Menteri membebaskan tahanan ISA yang ditangkap Tun Hussein Onn seperti Tan Sri Abdullah Ahmad Kok Lanas. Lama kemudian baru dia tangkap orang. Ramai!

Tun Abdullah Badawi pula tindakan pertamanya jadi  Menteri Dalam Negeri, menyekat Harakah dari dua kali seminggu kepada  dua kali sebulan.

Kerja pertama Datuk Najib jadi Perdana Menteri, membenarkan semula Harakah terbit dua kali seminggu. Dia tidak kisah juallah Harakah di mana-mana dan kepada sesiapa.

Mari Zahid Hamidi jadi Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polisnya yang baru, langkah sulung kedua-duanya tangkap pembangkang dan rampas Harakah, KeADILan dan Roket.

Sama ada kedua-duanya berpakat atau  tidak, tetapi mereka memulakan kerja dengan menangkap orang yang pada mereka ada salahnya. Empat tahun Najib jadi Perdana Menteri dengan dua KPN, Tan Sri Musa Hasan dan Tan Sri Ismail Omar, tidak  dipedulikannya kepada siapa Harakah dijual dan  diedar. Tak perasan dia ada menangkap pembangkang.

Tak sampai sepuluh hari Zahid jadi Menteri Dalam Negeri, kurang  seminggu dia ada  KPN baru, ditangkapnya tiga aktivis pembangkang termasuk Tamrin  Ghafar dan Tian Chua atas nama undang-undang. Ketika sama mereka rampas Harakah dll kerana langgar undang-undang.

Begitu banyak jenayah dan pelanggaran undang-undang yang menyebabkan kematian, hilang harta benda, melari anak dan membuang anak, mengedar dadah dll, yang mereka dulukan menyerbu Harakah dari pengedarnya. Benda-benda yang lebih besar tidak didulukan, penjualan  Harakah secara terbuka yang  diutamakan.

Ditanya Zahid tentang kejadian itu, katanya dia tidak tahu kerana ia tindakan polis. Sama ada polis maklumkan tindakan mendulukan benda yang boleh dikemudiankan, tindakan polis itu dilihat mencerminkan dasar dan sikapnya. Tanggungjawab dan akauntibiliti tetap kepadanya.

Polis ada kuasa tangkap sesiapa; sindiket dadah, tipu dll tetapi polis tentu maklumkan kepada menteri terhadap tindakan yang melibatkan politik. Silap polis tangkap perompak dan penyamun tidak banyak melibatkan sikap menteri, tetapi tindakan tepat menangkap orang politik tetap menyentuh kebijaksanaan menteri.

Jika tangkapan ke atas Tamrin dan Tian Chua itu menyebabkan kerajaan dan menteri boleh dicerca, maka menterilah yang lebih banyak dicerca. Dr. Mahathir boleh salahkan Tan Sri Rahim  Nor kerana mempelupuh Anwar  Ibrahim  sampai pengsan, walaupun Rahim Nor pikul akibatnya, tetapi tetap Mahathir  dipersoal atas kekejaman Rahim itu.

Saya tidak mahu menyamakan Zahid dengan Dr. M dan KPN baru dengan Rahim Nor, tetapi mereka telah memulakan tugasnya penuh kontroversi. Payah hendak membela mereka terutama semasa kerajaan, pemimpinnya dan polis dipertikai oleh banyak pihak.

Kedua mereka akan mengambil masa untuk menjadi pemimpin dan pegawai mesra rakyat kerena memerka memilih tindakan yang tidak popular sebagai tindakan pertama.  Mahathir dan Tun  Hanif Omar sebagai KPN banyak tangkap orang di bawah ISA terutama peristiwa Operasi Lallang dan Memali. Tetapi dia memulakan tugas PM dengan membebas tahanan  ISA yang membabitkan dakwaan komunis.

No comments:

Post a Comment